Long Tiger, tiga lelaki direman empat hari

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

JOHOR BAHRU, 29 Dis – ‘Long Tiger’, lelaki etnik Rohingya yang ditahan semula semalam setelah melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor baru-baru ini, direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Jan oleh Mahkamah Majistret Tangkak.

Turut direman tiga individu dipercayai rakan lelaki berkenaan.

Perintah reman terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dan tiga lelaki masing-masing berusia 36, 38 dan 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Analia Kamaruddin.

Penahanan Abdul Hamim yang ditahan di Kedah semalam, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi individu itu disiasat mengikut Seksyen 216 Kanun sama kerana menyembunyikan tahanan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Abdul Hamim ditahan semula kira-kira 3 petang, di Kedah.

Abdul Hamim melarikan diri dari lokap mahkamah itu pada 15 Dis lepas dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada 11.55 pagi sebelum perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Selain Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, dia juga masih berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

675
Kongsi :
Previous post Pasca banjir: ‘Korek’ simpanan sendiri mula semula perniagaan
Next post 184 warga MISDEC bantu cuci rumah, surau terkesan banjir
Ubah saiz-+=