‘Long Tiger’ rancang lari ke negara jiran
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dipercayai cuba meloloskan diri ke Indonesia atau Thailand.
“Semalam, lebih kurang 3.15 petang, Long Tiger berjaya diberkas di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah bersama seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bertindak melindunginya.
“Memang itulah (meloloskan diri ke negara jiran) rancangan Long Tiger iaitu sama ada mahu menyeberang ke Indonesia atau ke Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata pergerakan Abdul Hamim dari Tangkak ke Sungai Petani dipercayai dibantu dua lelaki lain yang turut bertindak membeli kad sim dan memotong gari.
“Dua lelaki berumur 36 dan 38 tahun ini ditangkap di Batu Pahat, kira-kira pukul 3 pagi tadi. Seorang daripadanya ada rekod lampau jenayah dan dadah. Turut dirampas, sepasang gari dan pemotong besi,” katanya sambil menambah berkemungkinan akan ada lagi tangkapan baharu dibuat selepas ini.
Terdahulu, Abdul Hamim dan tiga lelaki berkenaan dibenarkan direman empat hari bermula hari ini hingga 1 Jan oleh Mahkamah Majistret Tangkak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Ayob Khan berkata susulan itu, polis Johor telah membuka kertas siasatan tatatertib ke atas Ketua Polis Daerah Tangkak, Ketua Polis Balai Tangkak dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak atas kesalahan kecuaian penyeliaan.
“Kertas siasatan tatatertib ini akan dikemukakan kepada Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan susulan dan inilah antara tindakan yang diambil terhadap mana-mana anggota dan pegawai yang terlibat ke atas aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang mereka sepatutnya menyelia, memeriksa lokap dan sebagainya,” katanya.
Pada 17 Dis lepas, Ayob Khan dilaporkan berkata empat anggota polis iaitu seorang sarjan dan tiga koperal yang bertanggungjawab di Mahkamah Majistret Tangkak telah ditahan kerja dan disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam yang menyebabkan kecuaian sehingga orang kena tuduh melarikan diri.
Sementara itu, Ayob Khan berkata kertas siasatan mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan telah dibuka terhadap seorang pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) yang dipercayai terlibat dalam kecuaian menyebabkan pembocoran maklumat arahan Ketua Polis Johor pada 16 Dis lepas.
“Pegawai ini disyaki mendedahkan maklumat sulit. Orang awam, anggota dan pegawai polis yang menularkan mana-mana maklumat sulit, saya akan ambil tindakan tidak kira pangkat apa pun. Jangan terlalu ghairah nak menularkan atau menjadi orang pertama menyebarkan berita melibatkan operasi polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Jebat JD’ disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menularkan gambar tangkapan ‘Long Tiger’.
“Individu ini berusia 47 tahun berasal dari Klang dan merupakan bekas anggota polis,” katanya sambil menambah tindakan turut diambil terhadap seorang koperal polis berusia 30 tahun yang bertugas di negeri ini kerana melakukan tindakan sama. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.