Lokasi strategik, ‘lubuk’ rezeki usahawan
BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini, disifatkan sebagai lubuk rezeki buat usahawan di negeri ini.
Seorang usahawan, Rahayu Mohd Yunos, 42, menyifatkan kedudukan lokasi yang strategik di tengah bandar dan tepian sungai nyata memberi nilai tambah kepada pusat perniagaan baharu berkonsepkan moden itu.
Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat membantu usahawan baru hendak bertapak dalam bidang perniagaan.
“Kadang-kadang mereka tak tahu, mereka ada ilmu dan perancangan tapi tak ada modal.
“Jadi adanya hab keusahawanan baharu yang lebih moden dan ditempatkan di lokasi strategik ini, insya-Allah ia dapat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berjaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Nada sama turut dizahirkan seorang lagi usahawan, Hamdan Dolmat, 35, yang percaya kehadiran pusat perniagaan baharu itu boleh membantu usahawan kecil yang sebelum ini tidak mempunyai tapak untuk mengembangkan perniagaan.
“Hab Keusahawanan Morten Walk boleh membantu sebab kebanyakan saya tengok peniaga kecil biasanya berniaga menggunakan payung di tepi jalan.
“Jadi dengan adanya hab ini yang lebih sistematik dan menarik mungkin boleh membantu mereka mengembangkan perniagaan diusahakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.