Lokasi pelancongan popular kembali ‘sepi’
BANDAR HILIR 13 Jan. – Lazimnya lokasi pelancongan di sini sentiasa dipenuhi pelancong, namun kembali sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.
Industri pelancongan dijangka menerima kesan ketara selepas baharu pulih kesan pelaksanaan PKP sebelum ini yang bermula pada 18 Mac 2020 dan ditamatkan pada Jun tahun lalu.
Tinjauan di beberapa lokasi pelancongan popular di bandar ini dan pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini serta Pengkalan Balak di Masjid Tanah, mendapati keadaan lengang berbanding sebelum PKP diumumkan.
PKP selama dua minggu yang bermula hari ini menyebabkan peniaga di kawasan berkenaan terpaksa menghentikan operasi kerana ketiadaan pengunjung.
Di Jonker Walk dan beberapa jalan utama di Bandar Hilir lengang tanpa kehadiran pelancong bersiar-siar atau membeli belah barangan cenderahati di gerai berdekatan.
Di Pantai Puteri pula tiada kesesakan lalu lintas berlaku seperti lazimnya di Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundor berikutan pertambahan jumlah kenderaan pengunjung, begitu juga di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting.
Pengusaha bot pisang di pantai Padang Kemunting, Amri Zul, 30, berkata perniagaannya menurun sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu dan kali ini, ia dijangka berulang lagi.
“Sebelum ini pelancong dari Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan memenuhi pantai ini tetapi sekarang mereka tiada lagi kerana larangan rentas negeri sudah dikuatkuasakan,” katanya.
Sehubungan itu beliau terpaksa menyimpan dua bot pisangnya dan menyelenggara bot sementara menunggu PKP dijangka berakhir pada 26 Januari ini.
Pemilik inap desa di pantai Pengkalan Balak, Bahari Md Hashim, 46, berkata beliau terpaksa memulangkan wang pendahaluan yang sudah dibayar tetamu berikutan pembatalan tempahan.
“Bukan salah mereka terpaksa membatalkan tempahan, sebaliknya ia adalah kerana pandemik yang memberi kesan kepada semua pihak,” katanya.
Meskipun mengalami kerugian, beliau tetap bersyukur tidak perlu mambayar gaji pekerja seperti pengusaha chalet dan hotel yang lebih teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
-ends-