Lokasi baharu sambutan Hari Kebangsaan lebih selesa – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – Lokasi baharu Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka di hadapan pusat beli-belah Mahkota Parade, Banda Hilir mampu menggamit kehadiran lebih ramai pengunjung pada 31 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata penukaran lokasi itu bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung atau pelancong kerana kawasannya lebih luas dan strategik.

“Sebelum ini sambutan diadakan di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, tahun ini berbeza kerana ada acara besar lain seperti perarakan kemerdekaan, Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Keempat dan ambang merdeka.

“Saya harap ramai pengunjung dan pelancong akan ke Melaka untuk menikmati dan meraikan sambutan kemerdekaan kali ini di sebuah negeri yang penuh bersejarah.

“Justeru, sempena hari kemerdekaan tahun ini Kerajaan Negeri mengambil langkah menyediakan tempat sambutan di kawasan baharu yang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu istiadat berkenaan menyaksikan seramai 399 penerima menerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang disampaikan Tun Dr. Mohd Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post Berganding bahu majukan Melaka – Hee Sem
Next post ‘Anugerah suntik semangat warga CMI’
Ubah saiz-+=