Sorting by

×

Loji WTE Sungai Udang dijangka siap 2023

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI UDANG 3 Julai – Projek pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator dijangka siap pada 2023 selepas tendernya dibuka pada bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, loji tersebut bakal dibina di atas tanah seluas 9.5 ekar di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang.

Katanya, dengan pembinaan loji tersebut, masalah lambakan sampah di negeri ini akan segera diatasi dalam usaha mencapai taraf negeri terbersih.

“Pembinaan loji WTE tidak memerlukan kawasan tanah yang luas untuk dibina di kawasan tapak pelupusan ini. Sebab itulah kita mempercepatkan proses pembinaannya di Melaka.

“Kita percaya pembinaan loji WTE adalah satu cara yang lebih ‘hygienate’ dan bersih untuk mengurangkan sisa sampah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib.

Zuraida berkata, pembinaan itu menyaksikan Sungai Udang bakal menjadi antara lima lokasi pertama di Malaysia yang akan dibangunkan Loji WTE yang berupaya melupuskan kira-kira 800 tan sampah sehari.

Jelasnya, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyasarkan Loji WTE dapat dibina sekurang-kurangnya satu di setiap negeri di Malaysia.

Views:

1549
Kongsi :
Previous post Serangan monyet makin menjadi-jadi
Next post ‘Panggil semula lebih 100 saksi kes Adib’ – Zuraida
Ubah saiz-+=