LKM, insurans tamat tempoh kesalahan tertinggi direkod JPJ Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

REMBIA 4 Julai – Lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh antara dua kesalahan tertinggi dikesan menerusi Operasi Khas Pengarah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, hari ini.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam operasi selama empat jam bermula 9 pagi itu, sebanyak 220 kenderaan termasuk 130 motosikal diperiksa.

Katanya, operasi yang dijalankan di dua lokasi iaitu berhampiran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Rembia dan Kawasan Perindustrian Krubong, membabitkan seramai 20 penguatkuasa JPJ.

“Daripada jumlah kenderaan diperiksa sebanyak 44 buah diambil tindakan iaitu 28 motosikal dan 16 lain-lain jenis.

“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan sebanyak 79 kompaun dikeluarkan. Kesalahan tertinggi dikesan adalah tiada LKM dan insurans kenderaan dengan 54 notis kompaun diikuti lesen memandu 16, tujuh kesalahan teknikal dan lain-lain kesalahan sebanyak dua,” katanya pada sidang media selepas Ops Khas Pengarah, di PUSPAKOM Rembia.

Menurut Muhammad Firdaus, berbanding kenderaan lain, motosikal paling tinggi dikenakan kompaun sepanjang operasi itu.

Sementara itu, menurutnya sepanjang 20 hari Operasi Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang dijalankan bermula 10 Jun lalu sebanyak 11,708 kenderaan diperiksa penguatkuasa JPJ.

“Daripada jumlah itu sebanyak 1,925 kenderaan diambil tindakan dengan 3,708 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Sementara itu di Terminal Melaka Sentral pula, sebanyak 96 buah bas diperiksa dan 14 daripadanya diambil tindakan.

“Selain mengeluarkan notis kompaun JPJ P22, turut dikeluarkan notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dan enam notis 61 (1) iaitu notis arah untuk periksa kenderaan,” katanya.Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post Kes PEWA berulang masih tinggi – JPJ
Next post ‘Terima Kasih Ayah’
Ubah saiz-+=