Sorting by

×

LITAR KERETA KAWALAN JAUH TANJUNG BIDARA SIAP JUN 2025

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Februari – Pantai Tanjung Bidara bakal menjadi tumpuan peminat sukan kereta kawalan jauh (RC) apabila sebuah litar bertaraf antarabangsa bakal siap tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek pembinaan litar berkenaan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah bermula pada 27 Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 16 Jun depan.

Jelas beliau, ia melibatkan keseluruhan kos perbelanjaan berjumlah RM419,000 dengan pembangunan litar berkeluasan 3,880 meter persegi dan panjang tapak litar 267 meter secara ‘on road’.

“Terdapat beberapa kemudahan dan komponen yang disediakan di tapak litar kereta kawalan jauh ini, antaranya dua unit tempat duduk penonton, ruang mengecaj, ruang kawalan, litar kereta kawalan jauh dan pelbagai lagi kemudahan disediakan di sini bagi keselesaan para penonton dan peserta.

“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ribuan terima kasih kepada MPAG dan agensi-agensi yang terlibat dalam pembinaan tapak litar kereta kawalan jauh pantai Tanjung Bidara ini.

“Saya amat berharap litar ini memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya kepada anak-anak muda di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Terdahulu, Ab Rauf telah menyempurnakan gimik perasmian dengan menandatangani plak litar kereta kawalan jauh Tanjung Bidara dan seterusnya menyempurna gimik mengawal kereta kawalan jauh menuju ke garisan penamat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menzahirkan keyakinan litar yang akan dibangunkan itu berpotensi menjadi satu lagi daya penarik kepada peminat sukan kereta kawalan jauh dari seluruh Malaysia.

Menurutnya, ia sekali gus menjadi destinasi pilihan bagi penganjuran kejohanan-kejohanan sukan kereta kawalan jauh bertaraf antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

143
Kongsi :
Previous post WRUR: ‘DCM MHI’ BANTU BAKAL PENCIPTA KANDUNGAN MELANGKAH JAUH
Next post GOLONGAN MEMERLUKAN TURUT DISANTUNI