Sorting by

×

LIPUTAN 5G DI MELAKA CAPAI 89.7 PERATUS, CAPAIAN 4G HAMPIR 100 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI – Kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk di Negeri Melaka telah mencapai 89.7 peratus, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata, ia melibatkan sebanyak 215 struktur 5G yang telah siap dibina dan beroperasi di seluruh negeri.

Selain itu, Fairul Nizam berkata, liputan teknologi 4G di negeri ini juga telah mencapai hampir 100 peratus hasil pembinaan 64 buah menara baharu dan 1,128 stesen pemancar dinaik taraf kepada rangkaian 4G sejak 2020.

“Liputan teknologi 4G ini telah mencapai 99.97 peratus di kawasan berpenduduk berbanding 98.82 peratus pada 2020.

“Kerajaan Negeri melalui Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) dan MCMC komited untuk terus memperkasakan kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital negara merentasi sektor industri dan rakyat Malaysia.

“Antara usaha yang telah dilakukan termasuklah pembinaan menara telekomunikasi yang baharu beserta peningkatan kapasiti rangkaian telekomunikasi serta keupayaan infrastruktur sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata, orang ramai boleh membuat aduan secara terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya berdepan isu ketidakseragaman kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih, kelajuan internet dan kawasan liputan ‘blindspot’.

“Sebarang aduan berkaitan kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi boleh disalurkan terus kepada portal aduan MCMC menerusi pautan laman web https://aduan.mcmc.gov.my atau hubungi talian 1800-188-030,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post LAPAN AGENSI TAWAR SKIM BANTUAN PERKASA OKU DALAM KEUSAHAWANAN
Next post INSTITUT TUN PERAK SELIDIK PERANAN LAKSAMANA CHENG HO DALAM HUBUNGAN MELAKA DAN CHINA