Sorting by

×

Limpahan Sungai Rembau bawa rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER LIMAU 20 Dis – Sungai Rembau yang melimpah mengakibatkan banjir di pekan Lubok Cina, dekat sini memberi rezeki tambahan kepada mereka yang gemar memakan ikan air tawar.

Bagi Zulkifli Din, 57, atau lebih dikenali dengan nama Pak Teh, Sungai Rembau yang melimpah ke pekan berkenaan dimanfaatkan dengan memasang jaring di tepi jalan raya berhampiran tebing sungai.

Katanya, ketika tiada banjir, jaring berkenaan digunakan untuk menangkap ikan di beberapa anak sungai berhampiran kediamannya di Taman Wira Mas.

“Saya mencuba nasib memasang jaring sejak petang semalam dan menariknya pagi ini dan antara hasil yang melekat pada jaring ialah ikan keli, sepat dan lampam.

“Saya tidak menjual hasil tangkapan itu sebaliknya memasak tangkapan itu selain memberi sedekah kepada jiran tetangga,” katanya ketika ditemui menjaring ikan di pekan Lubok Cina hari ini.

ROKUN menjala ikan di tebing Sungai Rembau di pekan Lubok Cina, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Pekerja Bangladesh, Rokun Abdul Rahman, 30, berkata dia juga mengambil kesempatan banjir untuk menjala ikan di kawasan cetek.

“Saya takut terjatuh ke dalam sungai yang sangat laju arusnya, jadi saya hanya menjala di kawasan darat yang dinaiki air,” katanya.

Dia berkata, menjala sudah menjadi rutin kehidupannya di Bangladesh kerana kampung halamannya dikelilingi sawah dan sungai.

Rokun berkata, ikan air tawar amat lazat jika dimasak kari dan dimakan dengan nasi panas manakala ulam yang digemarinya ialah bawang besar.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat macam-macam ikan dan saya akan memakannya dengan kawan serumah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1878
Kongsi :
Previous post Sindiket jual bayi ‘Geng Nana’ tumpas
Next post Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi TH
Ubah saiz-+=