LIMA SEBAB PERLU KE MUZIUM HANG TUAH
DUYONG 5 Oktober – Sebut sahaja muzium, pasti ramai tahu Melaka merupakan negeri paling banyak muzium yang mana bertepatan dengan jolokan sebagai negeri yang kaya dengan sejarah.
Melaka kini terkenal dengan slogan daripada Kerajaan Negeri ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ dan ia sekali gus mengangkat nama pahlawan legenda Melayu itu sehingga menjadi sebutan dunia.
Muzium Hang Tuah atau Hang Tuah Centre yang terletak di Perkampungan Hang Tuah, Duyong ini merupakan ‘peti sejarah’ untuk mengenal lebih dekat figura yang mengharumkan nama Melaka ke seantero dunia.
Melaka Hari Ini menerusi tinjauan di muzium yang baharu dibuka semula kepada orang ramai bermula 1 Oktober lalu mendapati muzium itu wajar dimasukkan ke dalam senarai lokasi wajib dikunjungi warga tempatan dan luar negeri.
Berikut adalah lima sebab mengapa wajib kunjungi Muzium Hang Tuah.
1- Muzium berteknologi canggihÂ
Muzium Hang Tuah merupakan muzium yang pertama dalam Malaysia yang menggunakan 90 peratus teknologi kecerdasan buatan (AI).
Melawat ke Muzium Hang Tuah ini seolah-olah memulakan pengembaraan mengenali siapa pahlawan hebat sehingga digelar Laksamana Melayu Agung.
Sejurus melangkah kaki masuk ke muzium tersebut ia seperti kembali ke zaman dahulu kala.
Lebih menarik lagi, muzium itu turut dilengkapi dengan sistem teknologi yang canggih, terdapat sudut di mana pengunjung tidak perlu membaca, hanya perlu menonton tayangan dan mendengar penceritaan siapa Hang Tuah selain mengapa beliau begitu disanjungi.
2- Menerokai gaya hidup
Muzium itu dibahagi kepada dua segmen iaitu pertama Ruang Hang Mahmud dan segmen kedua adalah Ruang Dang Merdu.
Kedua-dua ruang terbabit diberi nama sempena nama ibu dan bapa kepada Laksamana Hang Tuah.
Di Ruang Hang Mahmud, pengunjung bakal mengenal siapa pembesar istana, sudut ‘virtual reality’ yang memperkenalkan mata wang, bahasa dan gaya hidup ketika zaman dahulu sebelum Melaka dijajah.
Manakala di Ruang Dang Merdu pula pengunjung bakal menyelusuri gaya hidup di istana, pakaian, hubungan diplomatik yang membabitkan sudut interaktif.
3- Mengenal artifak, senjata yang digunakan zaman kegemilangan Melayu Melaka
Pengunjung juga bukan sahaja dapat melihat lebih dekat artifak peninggalan malahan dapat menggarap pelbagai maklumat lebih tepat dan terperinci mengenai senjata utama yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu amnya iaitu keris.
Turut dipamerkan pelbagai jenis keris dan fungsi keris tersebut.
4- Memahami sejarah dan peradaban bangsa Melayu
Menghampiri 30 minit berada di dalam muzium tersebut, pengunjung pasti akan terpegun dengan potongan-potongan sejarah yang dipamerkan.
Bukan sahaja rasa terpegun, akan muncul juga rasa kagum terhadap betapa gagah dan perkasanya laksamana Melayu suatu masa dahulu sehinggakan dapat terasa perubahan demi perubahan yang berlaku dari dahulu sehingga kini.
Hal ini kerana muzium itu sendiri menyimpan pelbagai warisan budaya, sejarah, ilmiah yang perlu dijaga dan diwarisi untuk generasi masa hadapan.
5- Menjadi ‘celik sejarah’
Apabila tiba ke seksyen terakhir dalam muzium terbabit, pengunjung akan melihat bagaimana nama Hang Tuah itu diintegrasikan kembali dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, nama Hang Tuah itu diguna pakai untuk nama jalan, nama bangunan dan pelbagai lagi. Tidak hanya menggunakan nama, konsep dan perjalanan hidup Hang Tuah itu sendiri telah difilemkan, dibukukan dan menjadi animasi yang mana bersesuaian dengan semua lapisan umur.
Menjadi lebih celik sejarah bermaksud, pengunjung akan keluar dari muzium terbabit dengan membawa pulang ‘sesuatu’ yang dipanggil ilmu.
Dengan tiket bernilai RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dalam kalangan warganegara, sudah pastinya masuk ke muzium itu berbaloi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.