Lima remaja ‘rempit’ beraya dalam lokap
MASJID TANAH 13 Mei. – Tindakan lima remaja lelaki yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya di Kampung Paya Lebar, dekat sini mengundang padah apabila ditahan awal pagi semalam.
Semua suspek ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam antara 11 jam malam hingga 4 pagi.
Ketua JSPT negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam operasi itu, seramai tujuh remaja lelaki berusia antara 17 hingga 19 tahun ditahan.
Katanya, semua mereka dikenakan kompaun mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( PPPPB) kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa malam tadi.
“Lima daripada remaja berkenaan ditahan kerana melakukan aksi berbahaya dan dipercayai berlumba sesama sendiri.
“Kelima-limanya direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi itu polis turut menyita enam motosikal dan semua remaja yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, dalam operasi sama sebanyak 37 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya termasuk menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu terhadap semua remaja berkenaan.
“Semua saman itu dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.