LIMA PROJEK SELIAAN PETRA BERI MANFAAT BESAR KEPADA MELAKA
ALOR GAJAH 16 November – Lima projek dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diyakini bakal memberi manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, secara tidak langsung semua projek yang sudah siap dilaksanakan itu akan turut membantu menyuntik perkembangan ekonomi negeri.
Ab Rauf berkata, mewakili Kerajaan Negeri, beliau berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas keprihatinan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri PETRA kerana sentiasa mengambil cakna dan menyantuni denyut nadi rakyat khususnya di Negeri Melaka.
“Lima projek seliaan PETRA adalah Pemuliharaan Muara Sungai Baru daerah Alor Gajah dan kedua Pemuliharaan Muara Sungai Punggor, daerah Melaka Tengah yang mana inisiatif ini dilihat dapat mengurangkan hakisan pantai di kiri dan kanan muara, sekali gus mengurangkan kadar pemendapan.
” Selain itu, ia juga dapat meningkatkan keupayaan aliran air (flushing) terus ke muara untuk mengurangkan risiko banjir Pantai. Pada masa yang sama, projek ini dilihat dapat meningkatkan ekonomi nelayan dan penduduk setempat termasuklah mempermudah navigasi nelayan keluar dan masuk ke pengkalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Projek Siap Kepada Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Bougainvilla, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzman Mohd Baba Sakri dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Ts. Muhammad Khairudin Khalil.
Pada majlis sama Ab Rauf dan Fadillah turut menyaksikan simbolik penyerahan lima projek berkenaan daripada PERTA kepada Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, projek ketiga dilaksanakan PETRA adalah Mencegah Hakisan Pantai Telok Gong di daerah Alor Gajah yang juga antara lokasi tumpuan pelancong bagi di kawasan utara Melaka.
Menurut Ab Rauf projek itu dilihat dapat mengelakkan kemusnahan pantai agar tidak terhakis dengan lebih teruk dan mengekalkan aktiviti pelancongan serta meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Sementara itu katanya projek keempat adalah Pembinaan Stesen Hidrologi Telemetri Untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 2.
“Manakala projek kelima adalah Kerja-kerja Pemasangan Dan Naik Taraf Peralatan Mekanikal Dan Elektrik Al Bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.