Lima perkara bakal dicadangkan dalam manifesto BN untuk orang muda
PONTIAN, 13 Feb – Lima perkara untuk orang muda akan dicadang dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN), sebagai usaha mereka menarik minat pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata lima perkara asas itu merangkumi pendidikan, kemahiran, pekerjaan, perniagaan dan perumahan, selaras dengan kehendak orang muda.
Beliau berkata kesemua itu hanya mampu disediakan sebaiknya oleh BN, sekali gus memberi kesinambungan kehidupan lebih baik untuk orang muda, serta mendorong anak muda untuk lebih rasional dan memilih BN pada PRN nanti.
“Kita akan war-warkan lima perkara ini untuk dimasukkan dalam manifesto. Saya akan minta pengkhususan perkara itu, untuk memastikan anak muda dijanjikan janji yang boleh ditepati.
“Kalau kita lihat…lima perkara ini, ia disediakan dengan baik oleh BN dengan sebaiknya. Jadi harapannya (agar) golongan muda boleh mengimbau apa yang telah mereka nikmati yang mampu disediakan BN (supaya) mereka jadi yakin untuk mengundi BN nanti,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi BN dalam menarik pengundi golongan muda pada pilihan raya negeri itu, selepas menghadiri Taklimat dan Sesi Dialog Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di sini, hari ini.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.