LIMA HOSPITAL DI MELAKA TERIMA PENGIKTIRAFAN MSQH
BANDARAYA MELAKA 8 November – Lima hospital di negeri ini memperoleh Pensijilan Penuh Akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), sekali gus mengiktiraf perkhidmatan kesihatan di Melaka sebagai antara yang terbaik.
Mengulas mengenai perkara itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pengiktirafan MSQH diberikan kepada Hospital Melaka selain empat lagi pusat perubatan swasta.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, pengiktirafan itu juga dianggap sebagai satu berita baik yang boleh membantu meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelawat bagi sektor pelancongan kesihatan.
“Putra Specialist Hospital (PSH) antara pusat perubatan swasta menerima sijil akreditasi, ini satu berita amat positif kerana pengiktirafan MSQH akan meningkatkan lagi keyakinan pesakit khusus dari negara jiran terhadap kualiti perkhidmatan kesihatan ditawarkan di Melaka.
“Tahun lalu kita berjaya menarik 99,336 pelancong kesihatan, jumlah pelawat mahu mendapatkan rawatan di Melaka dijangka meningkat selepas PSH memperoleh pengiktirafan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH Edisi Ke-6 di PSH, hari ini.
Terdahulu Hee Sem yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyaksikan simbolik penyerahan Pensijilan Penuh Akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) daripada Pegawai Eksekutif MSQH, Datuk Dr. Heric Corray kepada Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Beliau, turut mengucapkan tahniah kepada PSH atas kejayaan memperoleh pensijilan akreditasi tersebut bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa 30 Julai 2024 hingga 29 Julai 2028.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.