
Lima calon Parlimen Tangga Batu hadir serah borang pencalonan
TANGGA BATU 5 November – Parlimen Tangga Batu dijangka menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia selepas lima individu terdiri daripada calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan seorang calon Bebas tiba di Kompleks Sukan Komuniti Negeri Melaka, Krubong setakat jam 9 pagi ini.
Calon pertama tiba ialah Ghazali Abu dari Pejuang yang tiba kira-kira jam 8.10 pagi, disusuli calon Pas yang mewakili PN Bakri Jamaluddin pada jam 8.30 pagi.
Pada jam 8.40 pagi, seorang calon Bebas, Mohammad Shahril Mahmood membuat kemunculan di pusat penamaan dan menyuarakan hasrat untuk bertanding.
15 minit selepas itu, penyandang kerusi Parlimen Tangga Batu yang juga calon PH, Rusnah Aluai pula tiba di pusat penamaan untuk menyerahkan borang undi.
Calon terakhir tiba di pusat penamaan ialah dari BN iaitu Datuk Lim Ban Hong yang tiba pada jam 9.05 pagi.
Ban Hong yang berbaju kemeja biru disambut dengan sorakan kira-kira 200 penyokong sebelum menuju masuk ke pusat penamaan bagi menyerahkan borang pencalonan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.