Sorting by

×

LIMA BERANAK RENTUNG: JIRAN DENGAR JERITAN MENYAYAT HATI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERKAM 13 Februari – “Lari…Lari, cepat keluar,” itu jeritan menyayat hati seorang lelaki selepas isteri dan empat anaknya terperangkap dalam kediaman mereka yang terbakar di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini, jam 1.30 pagi tadi.

Menceritakan kejadian itu, jiran mangsa, Ab Kahar Hamad, 70, berkata, dia terjaga selepas terdengar bunyi riuh-rendah dari arah kediaman mangsa dan bergegas keluar untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku.

Whatsapp Image 2025 02 13 At 12.13.05 Pm
AB Kahar.

Dia terkedu seketika selepas melihat rumah yang didiami enam beranak berkenaan sedang dijilat api dan cuba membantu memadamkan kebakaran dengan menggunakan air paip.

Namun, usahanya itu tidak banyak membantu berikutan api marak dengan pantas dan pada masa yang sama meminta anak lelakinya menghubungi bomba.

“Saya dengar suara lelaki itu menjerit meminta isteri dan anak-anaknya supaya keluar menyelamatkan diri, memang ada bunyi tapak kaki orang berlari-lari dari dalam rumah.

“Dalam suasana cemas itu saya nampak lelaki berkenaan tersandar pada pokok di luar perkarangan rumah dan mujur dia sempat diselamatkan oleh orang kampung melalui tingkap kerana bahagian itu tidak berjeriji.

“Isteri serta anak-anaknya tiada bersamanya ketika itu, mereka terperangkap disebabkan semua pintu berjeriji dan berkunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Whatsapp Image 2025 02 13 At 12.13.38 Pm (1)
KEADAAN rumah terbakar yang mengorbankan lima beranak di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi tadi.

Ab Kahar berkata, keluarga mangsa sudah tiga tahun menyewa di rumah berkenaan dan sebagai jiran dia kerap membawa pulang makanan dari masjid untuk disedekahkan kepada mereka.

“Sebelum ini enam beranak itu baru sahaja terlibat dalam kemalangan di Alor Gajah, namun hanya si bapa yang cedera, isteri dan anak-anaknya cuma mengalami luka-luka,” katanya.

Terdahulu lima beranak termasuk empat kanak-kanak berusia dua hingga 13 tahun maut dalam kebakaran berkenaan manakala seorang lelaki terselamat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti identiti kesemua mangsa yang ditemui rentung dalam rumah berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post LIMA MAUT KEMALANGAN BABIT TIGA KENDERAAN DI JEMPOL
Next post IDENTITI LIMA MANGSA RENTUNG DI UMBAI DIKENAL PASTI