
LIMA BERANAK RENTUNG: JENAZAH DITUNTUT KELUARGA
JASIN 17 Februari – Jenazah lima beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai Khamis lalu dituntut keluarga di Unit Perubatan Forensik, Hospital Jasin, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima beranak sepadan dengan sampel yang diambil dari ibu dan nenek mangsa, Ruziha Rusman, 60.
Jenazah lima beranak disahkan sebagai Laila Fathinah Mustapa, 37, bersama kandungan berusia lima bulan, empat anaknya iaitu Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi, 4.
“Proses pemadanan DNA telah selesai dilakukan di Jabatan Kimia di Johor dan hasil ujian itu diserahkan kepada Unit Forensik, Hospital Jasin.
“Semua jenazah boleh dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ujian DNA itu dilakukan berikutan keadaan lima beranak itu rentung kira-kira 80 peratus.
Jenazah lima beranak itu dituntut suami Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, kira-kira jam 7.05 petang tadi.
Muhammad Khairuddin yang terselamat dalam kejadian itu bagaimanapun mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada 30 Januari lalu.
Dia kelihatan tenang ketika jenazah isteri dan empat anak dipindahkan ke dalam van jenazah untuk dikebumikan.
Solat jenazah lima beranak itu dijangka dilaksanakan di Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam, Umbai di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Hj Johari Bakar, kampung sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.