
LIMA BERANAK RENTUNG: DNA DIPEROLEHI, JENAZAH BAKAL DIKEBUMI HARI INI
JASIN 17 Februari – Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil dari ibu mangsa kes lima beranak rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Khamis lalu diperolehi hari ini.
Berikutan itu, jenazah lima beranak itu, Laila Fathinah Mustapa, 37, bersama kandungan berusia lima bulan serta empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13, Izz Daffa Hafizuddin,7, Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun dijangka dikebumikan pada hari ini selepas keputusan itu diperolehi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata sampel DNA diambil daripada ibu Laila Fathinah, Ruziha Rusman, 60 pada hari kejadian.
“Jika keputusan DNA diperolehi hari ini, insya-Allah jenazah akan diuruskan segera untuk urusan pengebumian,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, kakak ipar Laila Fathinah, Nur Saadah Sa’ari, 37 berkata, ketika dihubungi berkata dia diberitahu jenazah akan dituntut dari Hospital Jasin seawal kira-kira 5 petang.
“Saya dimaklumkan paling awal kesemua jenazah dibenar untuk proses tuntutan bagi urusan pengebumian sama ada selepas Asar atau paling lewat selepas Maghrib (kira-kira 7.30 malam).
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan buat kami sekeluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, dia berkata solat jenazah lima beranak itu dijangka dilaksanakan di Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam, Umbai di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Hj Johari Bakar di kampung sama.
Dalam kejadian pada jam 13 Februari lalu, media melaporkan lima beranak itu ditemukan rentung manakala suami Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35 terselamat dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.