Sorting by

×

LIMA BERANAK RENTUNG DALAM KEBAKARAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 13 Februari – Lima beranak termasuk empat kanak-kanak terkorban dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, wanita berusia 35 tahun dan empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun terkorban dalam rumah separa batu dan kayu itu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.45 pagi dan terus bergegas ke lokasi sejurus kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian polis mendapati seorang mangsa iaitu lelaki yang juga suami kepada wanita yang maut berusia 30-an terselamat.

“Empat anak mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan ditemukan di ruang tamu, bahagian bawah berhampiran pintu tengah rumah, sementara itu ibu mereka ditemukan di ruang atas atau serambi.

“Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung 100 peratus, ketika ini kami juga sedang mengenal pasti identiti mereka yang terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2025 02 13 At 11.03.11 Am (1)
MOHAMAD Rusli.

Mengulas lanjut, beliau berkata lelaki yang terselamat itu baru sahaja mengalami kemalangan jalan raya Januari lalu dan kakinya patah namun ketika kejadian dia sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati pintu jeriji dalam keadaan berkunci dan kita percaya semua mangsa yang maut gagal menyelamatkan diri.

“Mayat kelima-lima mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala lelaki yang terselamat dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Mohamad Rusli berkata, berdasarkan maklumat awal wanita berkenaan hamil namun pihaknya perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak hospital terlebih dahulu.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan polis masih menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post WRUR: RAKYAT KENALI ‘KAK SOM’ LEBIH DEKAT
Next post WRUR: HAWA PERKENAL TEKNOLOGI AI KEPADA USAHAWAN WANITA PENGKALAN BATU