Lihat artifak, sumber baharu Hang Tuah di MITC selama sebulan
BANDA HILIR 5 Jun – Orang ramai khususnya peminat sejarah dijemput hadir ke Pameran Hang Tuah yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan.
Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, kira-kira 20 penemuan artifak dan 20 manuskrip serta penulisan hasil kajian yang dijalankan akan dipamerkan dalam pameran berkenaan.
Menurutnya, pameran itu akan dibahagikan kepada beberapa galeri seperti kidah peribadi Pahlawan Hang Tuah dan kisah ketika era Kesultanan Melayu Melaka.
“Galeri berkaitan kisah peribadi Hang Tuah merangkumi beberapa seksyen termasuklah tentang asal-usul dan riwayat hidup, karakter atau ciri-ciri khas Hang Tuah.
“Terdapat juga filem tentang Hang Tuah dan manuskrip Hikayat Hang Tuah dari pelbagai bahasa akan dipamerkan selain turut menganjurkan simposium atau seminar berkaitan kajian yang dilaksanakan.
“Pelbagai pengisian menarik juga disusun sempena pameran itu seperti replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca’ yang ditemui di Muzium Militari Lisbon, Portugal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kajian Penyelidikan Hang Tuah Menerusi Sumber-Sumber Baharu di Dewan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pameran yang berlangsung itu akan beroperasi setiap hari iaitu bermula 10 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Manakala, Jumaat hingga Ahad beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam.
“Tiket yang dikenakan adalah RM15 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak serta warga emas bagi warganegara Malaysia, manakala pelancong asing pula RM20 buat dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.