Sorting by

×

‘Light City’ konsep baharu bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 April – Bazar Jalan Hang Tuah yang dahulunya ‘mati’ tanpa kehadiran pengunjung kini kembali bernafas dengan wajah baharu diberi nama Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab).

Penganjurnya, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata pihaknya pertaruhkan modal sebesar RM100,000 untuk mewujudkan bazar berkonsep ‘Light City’ untuk memberi wajah baharu kepada bazar tersebut.

Katanya, ia nyata berbaloi apabila Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrad) kini menjadi tumpuan pengunjung sejak bermulanya Ramadan dan menyasarkan 1 juta pengunjung sehingga akhir Ramadan.

SUASANA bazar Aidifitri di Jalan Hang Tuah.

“Kita merupakan bazar pertama yang mempunyai konsep ‘Light City’ ini dan kita wujudkan di tapak bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah yang dulunya sepi kini semakin meriah.

“Sejak dibuka kehadiran pengunjung setiap malam mencecah 200,000 orang dan ianya berjaya dikutip pada minggu pertama bazar ini beroperasi.

“Light City ini kita pasang deretan lampu LED yang dililit pada 80 pokok sepanjang 400 meter khemah dipasang adalah inisiatif untuk menghidupkan kembali bazar Aidilfitri ini.

“Kita buat bazar ini seperti buat satu acara. Kena ada tema dan sebab itu kita ubah suasana bazar ini dengan menerangi 128 khemah di sepanjang 0.5 kilometer dengan memasang lampu LED pada pokok-pokok di sini,” katanya kepada media ketika ditemui di bazar itu malam tadi.

Penganjur Melaka Grand Ramadan Bazaar, Muhammad Fikri Mohd Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, katanya, meskipun berdepan risiko yang agak tinggi pihaknya yakin dengan konsep dan pelbagai aktiviti menarik akan menjadikan bazar itu kembali istimewa kembali kepada rakyat Melaka khususnya.

Selain itu, ujarnya antara tarikan pengunjung untuk hadir ke bazar tersebut adalah dengan memanggil artis terkenal untuk membuat persembahan setiap malam.

Ujarnya, antara persembahan menarik daripada artis terkenal negara seperti Datuk Awie, Siti Nordiana, Azlan Typewriter dan beberapa artis Akademi Fantasia juga akan menjadi penarik ke bazar berkenaan.

“Kita mahu bazar ini berjaya sebab yang untungnya adalah peniaga. Bukan penganjur. Jadi kami berharap penjenamaan semula bazar ini akan menguntungkan semua pihak,” katanya.

Jelasnya, penganjuran bazar itu turut mendapat tajaan dari beberapa premis di sekitar Jalan Hang Tuah seperti Hang Boba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3184
Kongsi :
Previous post Kaki kanan kanak-kanak lelaki tersepit dalam eskalator
Next post Melaka lancar Pelan Induk M-WEZ esok
Ubah saiz-+=