Liga Super dikembalikan, Liga Premier dihentikan sementara bermula 2023
PETALING JAYA, 20 Julai – Liga Malaysia (Liga-M) akan melalui penstrukturan yang menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim 2023.
Melalui penstrukturan itu, saingan Liga Simpanan diperkenalkan mulai musim depan melibatkan kesemua 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan tersebut.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata usul penstrukturan itu dipersetujui kesemua 21 rakan kongsi terdiri daripada 12 pasukan Liga Super dan sembilan wakil Liga Premier sedia ada pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga yang berlangsung hari ini.
Katanya, penstrukturan itu antara lain menawarkan minit permainan lebih tinggi dan jumlah perlawanan kompetitif lebih banyak kepada pemain selain meningkatkan nilai komersial saingan liga tempatan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Agenda ini boleh membawa skuad Harimau Malaya untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Dari sudut komersial sudah tentu dengan lebih perlawanan bukan sahaja MFL, malah pasukan dapat kelebihan dari aspek penajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, hari ini.
Pelaksanaan penstrukturan Liga-M itu menyaksikan setiap pasukan Liga Super 2023 akan beraksi 34 perlawanan semusim berbanding hanya 22 perlawanan ketika ini.
Pada masa sama, Ab Ghani berkata penstrukturan itu juga bagi menyelaras setiap pasukan untuk mempunyai skuad simpanan yang konsepnya seperti feeder team dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.
“Maka kita selaraskan dengan wujudnya Liga Simpanan dengan ia dilihat adil untuk semua pasukan yang terlibat dalam liga musim depan,” katanya.
Ketika ini, sebanyak 12 pasukan bertanding dalam Liga Super sementara 10 dalam Liga Premier yang menyaksikan pasukan kedua-dua liga berkenaan masing-masing menempuh 22 dan 18 aksi semusim.
Penstrukturan bermula musim depan menyaksikan enam pasukan Liga Premier akan dinaikkan kepada Liga Super, namun dua pasukan terbawah perlu bermain aksi ‘play-off’ menentang dua pasukan terbaik daripada Liga M3, yang juga saingan liga tertinggi peringkat amatur di Malaysia.
Sekiranya berjaya layak ke Liga Super musim depan, pasukan daripada Liga M3 perlu melengkapkan proses pelesenan kelab yang akan dinilai MFL.
Sementara skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) yang dikhususkan untuk pembangunan pemain muda negara dan beraksi dalam Liga Premier ketika ini akan mengisi slot ke-19 pasukan dalam Liga Simpanan.
Dalam pada itu, bermula musim depan MFL menetapkan format baharu pendaftaran sembilan pemain import kepada kesemua pasukan Liga Super meskipun MFL akan mengikut ketetapan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam penggunaan enam pemain import.
Namun, badan pentadbir Liga-M itu kekal dengan hanya menbenarkan lima pemain import di atas padang iaitu tiga tambah satu kuota pemain Asia dan satu slot pemain ASEAN pada satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan bertujuan menjaga slot pemain tempatan.
Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata membuat penyusunan jadual adalah antara cabaran terbesar MFL tetapi pihaknya sudah mempunyai strategi untuk memastikan kelancaran saingan musim depan melalui beberapa siri bengkel yang akan dianjurkan pihaknya bersama kesemua pasukan terlibat.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.