Liga M3 ditunda ke Jun 2021
SAINGAN Liga M3 2021 yang dijadual pada Mac ini ditunda ke Jun depan, menurut kenyataan rasmi Liga Bolasepak Amatur (AFL).
Pengerusi AFL Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pindaan dibuat bagi memastikan kesihatan pemain dan pegawai serta perancangan pasukan yang bakal bertanding tidak terjejas berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.
“Walaupun kami ingin pertandingan Liga M3 musim 2021 ini dijalankan mengikut jadual awal seperti yang dirancang tetapi kesihatan serta keselamatan pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan buat kami di AFL,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff menzahirkan keyakinan, pindaan itu tidak akan menjejaskan proses saringan serta pengesahan pasukan bertanding yang dijangka selesai awal Mac.
Pada masa sama beliau percaya pindaan itu satu langkah proaktif bagi memastikan kelancaran semua aspek pertandingan termasuk pendaftaran pemain dan pasukan serta penjadualan perlawanan Liga M3.
“Pengesahan awal ini akan memberi masa mencukupi untuk semua pasukan bertanding bersiap siaga dalam mengharungi saingan Liga M3 2021.
“Kami (AFL) akan menggunakan waktu pindaan ini untuk melakukan saringan yang lebih teliti ke atas semua dokumen yang diserahkan oleh pasukan.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini, proses saringan ini perlu sebagai persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) ke arah semi-pro selain mengenal pasti pasukan terbaik dan kompetitif,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, AFL bersedia dengan beberapa format pertandingan dan akan meneliti serta memilih format terbaik selepas memuktamadkan jumlah pasukan yang layak dan melepasi syarat untuk bertanding.
Mengikut perancangan awal 24 pasukan akan bertanding dalam saingan Liga M3 menerusi format baharu yang akan diperkenalkan.
Namun difahamkan, setakat ini hanya 19 pasukan semi-pro yang bertanding pada musim 2020 telah menyatakan hasrat untuk meneruskan penyertaan dalam Liga M3, antaranya Armed Forces FC, Manjung City FC, Langkawi City FC dan NLFC-Mahsa.