Liga-M: Lima aksi minggu pertama ditunda – MFL
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini mengesahkan tiga perlawanan itu membabitkan satu aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.
Menerima nasib sama adalah dua aksi Liga Premier yang dijadual berlangsung esok iaitu antara UiTM FC dan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu serta Perak FC menentang Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh.
MFL memaklumkan 20 pemain serta pegawai pasukan Sri Pahang dijangkiti COVID-19, UiTM (12 pemain positif dan baki pemain kontak rapat bergejala) dan Perak sebanyak enam pemain diuji positif manakala 14 pemain kontak rapat bergejala.
Menurut badan pentadbir Liga-M itu, situasi tersebut menyaksikan aksi kedua Liga Super Sri Pahang menentang Selangor FC pada 8 Mac dan perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Manjung City FC pada 12 Mac juga terpaksa ditunda.
Dua aksi pusingan pertama Piala FA masing-masing UiTM bertemu Kuching City FC pada 15 Mac dan pertemuan Perak menentang Kijang Rangers FC pada 14 Mac juga terpaksa ditunda susulan perkembangan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata prosedur operasi standard (SOP) terbaru MFL adalah kelab layak memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih daripada jumlah pendaftaran skuad utama pada hari perlawanan dijangkiti COVID-19 atau kontak rapat bergejala.
“Hari ini kami menerima laporan berhubung pasukan yang berdepan masalah positif COVID-19 antaranya Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC dan perlawanan ketiga-tiga pasukan ini terpaksa ditunda sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin,” katanya.
Tiga perlawanan ditunda itu menjadikan lima aksi minggu pertama Liga-M terjejas berikutan COVID-19.
Semalam, MFL memaklumkan dua perlawanan Liga Premier melibatkan Selangor FC 2 menentang Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM, Shah Alam pada esok dan PDRM FC berdepan Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (7 Mac) terpaksa ditunda akibat jangkitan COVID-19. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.