Lif rosak luar jangka punca pesakit dipindahkan melalui tangga
AYER KEROH 3 Jun – Gangguan luar jangka kerosakan lif di Blok F Hospital Melaka menyebabkan pesakit terpaksa dipindahkan melalui tangga.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, kerosakan lif itu berlaku semalam (2 Jun) yang menyebabkan akses terhad kepada beberapa wad.
Katanya, pemindahan pesakit di wad aras 4 ke aras 3 seperti yang tular pada satu video di laman sosial itu perlu dilakukan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal pada ketika itu.
Jelasnya lagi, lif yang rosak secara luar jangka itu juga telah dibaiki pada hari yang sama.
“Pemindahan pesakit ini dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat dan pengurusan wad. Pesakit tersebut telah dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.
“Sehingga petang 2 Jun 2023, dua unit lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan. Pihak Hospital Melaka sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan pesakit dan kakitangan diutamakan.
“Semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan kerana ini boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 13 saat menunjukkan pesakit terpaksa dipindahkan melalui tangga oleh petugas kesihatan susulan lif rosak yang berlaku di Hospital Melaka.
Mengulas lanjut, Hee Sem memaklumkan, Hospital Melaka kini juga sedang menaik taraf lif di beberapa blok hospital.
Menurutnya, projek naik taraf lif itu terbahagu kepada dua fasa di mana, fasa 1 berlangsung dari Oktober 2022 sehingga Julai 2023, manakala fasa 2 berlangsung dari Julai 2023 sehingga Disember 2023.
“Sepanjang tempoh tersebut, bilangan lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baharu,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.