LHDN KENAL PASTI 327 KES BERKAITAN CUKAI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 11 September – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 585 individu dan premis perniagaan di Melaka dan Negeri Sembilan untuk diaudit dalam Ops Jebat dan Ops Minang selama tiga hari, bermula hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli berkata, pelaksanaan kedua-dua operasi di dua negeri itu adalah program kesepuluh selepas kejayaan Operasi Metro 2024.

Katanya, berdasarkan jumlah kes berkenaan, 371 kes adalah membabitkan audit manakala 111 kes melibatkan undang-undang dan 103 lagi melibatkan pungutan.

“Persediaan awal operasi telah mengenal pasti sejumlah 327 kes di Melaka manakala 258 kes di Negeri Sembilan untuk dilawati, melibatkan 197 pegawai LHDN.

“Siri operasi ini adalah yang ke-10 dan diharapkan operasi ini dapat memberi kesedaran kepada pembayar cukai dalam meningkatkan kadar pematuhan cukai LHDN.

“Sasaran hasil kutipan (dalam dua operasi tersebut) kita belum dapat pastikan lagi berikutan perlu melihat isu yang ditemui dan apabila kita keluarkan isu berkenaan kepada pembayar cukai, sama ada pembayar cukai bersetuju atau tidak, mereka perlu memberikan maklum balas kepada isu yang ditemui,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ops Jebat dan Ops Minang di Wisma LHDN Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai, Norfaidah Daud dan Pengarah LHDN Melaka, Shahriz Ramli.

Mengulas lanjut, Hisham berkata dua siri operasi berkenaan bukanlah yang terakhir berikutan terdapat beberapa negeri yang belum dilawati dan akan menyusul kemudian.

“Setakat ini, hasil kutipan dalam kesemua operasi yang dijalankan di beberapa negeri masih dalam proses penyelesaian namun secara keseluruhannya boleh dikatakan positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mempromosi e-Invois yang bermula 1 Ogos lalu melibatkan syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Katanya, bermula 1 Januari tahun hadapan, akan diadakan pelancaran projek rintis sistem e-Invois melibatkan syarikat dengan hasil jualan tahunan atau pendapatan melebihi RM25 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post KUALA LINGGI JADI HAB PENDIDIKAN PELBAGAI BIDANG
Next post LAYANG-LAYANG JALUR GEMILANG, BERLAMPU WARNAI LANGIT MELAKA
Ubah saiz-+=