LeyPark Station, macam-macam ada
AYER KEROH 2 Feb- Pelbagai persembahan menarik disediakan di LeyPark Station setiap minggu dalam usaha memberikan kepuasan kepada orang ramai berkunjung ke lokasi baru pelancongan itu.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, hampir dua bulan beroperasi, lokasi berkenaan yang sebelum ini lengang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung tempatan atau datang dari negeri lain.
Katanya, apa yang membanggakan sepanjang musim cuti perayaan yang panjang ketika ini, lebih 2,000 orang singgah ke lokasi tumpuan pelancong baru itu untuk menyaksikan persembahan menarik diatur pihaknya.
“Persembahan yang kita bawakan, benar-benar menggamit pengunjung untuk datang ke sini bersantai bersama keluarga dan malam ini merupakan hari cuti, kita bawakan khas fire dance (tarian api), memang untuk malam ini sahaja.
“Pada masa akan datang, kita akan bawakan persembahan lain yang pastinya pengunjung akan nanti-nantikan dan sudah semestinya menarik serta sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
“Seperti semalam (kelmarin) kita bawakan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina, malam ini kita bawakan tarian api, akan datang mungkin kita akan panggil penyanyi dondang sayang, atau produk-produk dalam negeri Melaka itu sendiri, di mana program-program di sini setiap minggu berbeza-beza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas pertunjukan tarian api di LeyPark Station, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, berdasarkan rekod dikesan menggunakan aplikasi MySejahtera lebih 7,000 orang singgah ke LeyPark Station yang memulakan operasi bulan lalu.
“Namun kita anggarkan jumlah sebenar lebih daripada itu dan kebanyakan pengunjung adalah dari luar negeri yang menginap di hotel-hotel berdekatan.
“Mereka datang menginap bersama keluarga dan berkunjung ke sini untuk aktiviti malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.