
LESTARI RUN MACHAP JAYA BUKA 200 PENYERTAAN TAMBAHAN
MACHAP JAYA 20 FEBRUARI – Lestari Run Machap Jaya 2025 membuka 200 penyertaan tambahan kepada peserta yang ingin menyertai larian tersebut pada saat-saat akhir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 800 penyertaan dan pendaftaran itu masih dibuka kepada mereka yang berminat sehingga 23 Februari iaitu hari larian.
“Sasaran kita untuk mendapatkan kira-kira 800 penyertaan sudah tercapai yang mana penyertaan bukan sahaja terdiri daripada rakyat Melaka tetapi juga dari seluruh Malaysia.
“Namun begitu pihak penganjur membuka 200 penyertaan tambahan sekiranya di saat akhir ada yang masih berminat untuk turut serta memeriahkan Larian Lestari Run Machap Jaya 2025.
“Bagaimanapun, untuk penyertaan tambahan ini peserta hanya menerima bib dan medal sahaja selain sepanjang 5.6 kilometer larian itu terdapat tiga stesen minuman,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Japerun Machap Jaya, semalam.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, selain menyediakan kawasan parkir di kawasan Felda Hutan Percha, turut disediakan beberapa ‘shuttle’ dan kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan pergerakan peserta larian.
“Peserta larian disarankan untuk datang seawal jam 5.30 pagi bagi melancarkan urusan parkir kenderaan dan mereka akan dibawa dengan menaiki shuttle ke lokasi larian.
“Bagi peserta beragama Islam, mereka boleh menunaikan solat Subuh terlebih dahulu di Masjid Felda Hutan Percha kerana larian akan bermula pada jam 7.30 pagi,” katanya.
Jelasnya, sepanjang berlangsungnya acara larian itu dua laluan iaitu Jalan Tebong – Hutan Percha akan ditutup sepenuhnya bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi manakala laluan utama Jalan Besar Felda Hutan Percha ke Tampin hanya ditutup separuh dalam tempoh yang sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.