Lesen ‘My Heli Club’ digantung serta-merta

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER MOLEK 5 Jan. – Lesen latihan penerbangan syarikat ‘My Heli Club’ yang terbabit dalam dua insiden kemalangan pada 8 November dan 1 Januari lalu digantung serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penggantungan itu ditetapkan selama enam bulan di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Saya nak umumkan satu keputusan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah membuat keputusan menggantung kebenaran latihan penerbangan itu bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Keputusan itu berikutan kita dapati syarikat itu ada tiga buah helikopter yang mana dua daripadanya sudah terlibat nahas pada 8 November 2020 di Taman Melawati, Selangor dan sebuah lagi turut terlibat kemalangan di Pulau Indah, Klang pada 1 Januari 2021 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Tiang Dua, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, larangan itu bagaimanapun hanya membabitkan penerbangan latihan manakala penerbangan persendirian masih dibenarkan seperti biasa.

“Kita akan maklumkan kepada pihak kelab ini dan ini satu keputusan yang perlu dibuat oleh CAAM atas faktor keselamatan selaras dengan peraturan penerbangan awam Malaysia,” tambahnya.

Terdahulu, pada 8 November lalu, sebuah helikopter membabitkan syarikat ‘My Heli Club’ terhempas dan meragut dua nyawa di Taman Melawati, Kuala Lumpur manakala sebuah lagi helikopter yang terbabit dalam kemalangan itu berjaya melakukan pendaratan cemas.

Insiden sama berulang lagi 1 Januari lalu apabila sebuah lagi helikopter milik syarikat sama terhempas selepas hilang kawalan ketika cuba membuat latihan ‘hovering’ di satu kawasan lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah.

Views:

641
Kongsi :
Previous post Malaysia rekod 32,378,174 kenderaan pada 2020
Next post Hentikan provokasi – Ka Siong
Ubah saiz-+=