Sorting by

×

Lepasan universiti digalak sertai program pembelajaran sepanjang hayat- KPT

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BUKIT MERTAJAM 10 April. – Pelajar lepasan universiti yang masih menganggur digalakkan menyertai Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ditawarkan di Kolej Komuniti di seluruh negara agar mereka dapat menambah ilmu mereka dalam usaha untuk mendapat pekerjaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Mansor Othman berkata, usaha itu secara tidak langsung meningkatkan kemahiran individu dari segi teknikal dan keusahawanan.

“Ilmu keusahawanan sangat penting untuk seseorang itu meneruskan hidup apabila kehilangan pekerjaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Malaysia Prihatin dan melancarkan program Keusahawanan dan Pembudayaan Komuniti Inovatif (KPKI) menerusi Teknologi Laser di Kolej Komuniti Seberang Jaya hari ini.

Beliau berkata PSH yang diperkenalkan sejak tahun 2002 merupakan kursus jangka pendek yang menawarkan pelbagai kemahiran kepada orang ramai, dan sehingga 31 Disember 2020, bilangan penyertaan PSH mencecah 2,968,966 peserta dengan penawaran 141,624 kursus.

Katanya tahun lalu PSH telah disertai oleh 1,289 Orang Kurang Upaya (OKU), 1,583 ibu tunggal, 20,375 dari golongan miskin tegar, 47,590 orang belia, 2,711 warga emas dan 382 daripada komuniti orang asli.

Antara kursus kemahiran yang mempunyai penyertaan tertinggi pada tahun 2020 adalah katering dan sajian, komputer dan teknologi maklumat, pembangunan diri dan motivasi, grafik dan multimedia, perniagaan dan keusahawanan, jahitan dan pakaian, kecantikan dan dandanan, program industri, kerohanian dan keagamaan serta elektrik dan elektronik.

“Selain PSH, kita juga memperkenalkan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) pada tahun 2014. Program ini kita perkenalkan kepada pelajar-pelajar di sekolah agama dengan tujuan yang sama, iaitu untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Beliau turut menyumbangkan peruntukan RM17,000 untuk menambah baik kemudahan perkhidmatan pemotong laser ‘laser cutter’ yang tersedia di kolej itu.

Sementara itu, Mansor berkata sebagai permulaan, 12 orang belia komuniti Nibong Tebal telah mengikuti kursus penghasilan cenderamata menggunakan pemotong laser berkenaan dengan peserta mempelajari teknik dan cara penggunaan mesin itu untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

“Pihak kolej bercadang untuk melatih lebih ramai peserta pada masa akan datang. Di samping itu, kemudahan mesin ini akan turut dibuka kepada pelajar sekolah di kawasan setempat bagi tujuan penghasilan produk-produk inovasi yang lebih kreatif dan inovatif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

695
Kongsi :
Previous post Audio tular: Kalau betul apa masalahnya?- Anwar
Next post KAQSA lahirkan ratusan huffaz dan cendekiawan Islam terulung
Ubah saiz-+=