Lepasan tingkatan tiga boleh ikuti program TVET

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Januari – Kerajaan akan berusaha membantu pelajar lepasan tingkatan tiga untuk mengikuti kursus program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar dalam bidang tersebut akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 5 iaitu setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) .

“Seperti kita tahu TVET telah bertukar daripada pilihan kedua kepada pilihan pertama pelajar, saya telah nyatakan bahawa usaha sedang dijalankan agar pelajar lepasan tingkatan tiga boleh mengikuti kursus TVET.

“Ini kerana mereka akan diberikan SKM tahap satu hingga lima yang setaraf dengan SPM untuk masuk terus ke bidang pekerjaan dipilih mereka.

“Saya dapati ada dalam kalangan lepasan TVET ini memperolehi gaji premium sehingga RM4,000 dan ini tentu lebih baik berbanding graduan dalam kursus akademik yang biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor UTeM di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Seri Zambry Abdul Kadir; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin;
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata menerusi UTeM dan MTUN, universiti itu bersetuju menyelaraskan kursus-kursus yang ditawarkan sesuai dengan permintaan industri.

“Oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah banyak membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, sekarang kita memerlukan tenaga mahir dan tenaga mahir itu kebanyakkan adalah lepasan TVET.

“Ini cukup penting sebab kita tidak mahu tenaga kerja asing yang akan menguasai bidang ini, kerana kita tahu kemampuan lepasan TVET ini boleh lakukan kerja dengan produktiviti lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post China tawar 1,000 biasiswa percuma untuk lepasan TVET
Next post Transformasi ekosistem TVET, lahir pekerja teknikal mahir
Ubah saiz-+=