Lengkap vaksin dapat beras
TANJUNG BIDARA 19 Sept. – Dapat vaksin dos kedua, dapat beras lima kilogram.
Itu rezeki berganda buat penerima vaksin dos kedua pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara.
Bekas pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Azura Abdullah, 23, meskipun sekadar beras lima kilogram (kg), ia tetap rezeki yang dihargai.
“Alhamdulillah, walaupun cuma beras lima kg, saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakan kerana sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban perbelajaan harian.
“Sejak diberhentikan kerja pada Jun lalu, saya masih belum bekerja sedangkan ayah sudah uzur dan ibu mencari rezeki sebagai tukang cuci,” katanya selepas menerima beras dan suntikan di Dewan JAPERUN berkenaan, hari ini.
Seramai 2,000 penerima vaksin diberikan beras oleh JAPERUN hasil sumbangan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan had 500 kampit untuk 500 penerima vaksin pada Khamis lalu hingga hari ini.
Pekerja pendawaian elektrik, Mohd Fadir Othman, 36, berkata sumbangan beras meringankan bebannya menyediakan bahan makanan untuk keluarga.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka hajat di hati untuk mendapatkan dos kedua, dapat pula beras yang walaupun sekadar lima kg, ia tetap rezeki untuk saya sekeluarga,” katanya.
Juhri Metro, 30, yang memegang kad Pemestautin Tetap (PR) berkata, anugerah itu membolehkannya memanfaatkan wang yang sepatutnya membeli beras untuk membeli bahan makanan lain.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada JAPERUN kerana memberi sumbangan yang berharga ini,” katanya.
Syed Mohd Afzanizam Syed Abdul Ghani, 33, berkata pemberian beras meringankan bebannya menyediakan perbelanjaan untuk isteri dan dua anak.
“Saya hanya bekerja kontrak dan kalau hujan, tidak boleh kerja, jadi beras sumbangan JAPERUN ini mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, bahan makanan asasi itu disumbangkan Ab Rauf dan disampaikan melalui JAPERUN dengan tujuan meringankan beban kewangan penduduk, terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.