Lembu ternakan di Melaka perlu ada tag

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 25 Januari – Semua haiwan ternakan khususnya lembu perlu diletakkan tag bagi memudahkan urusan mengenal pasti pemilik sebenar haiwan berkenaan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pemilik haiwan ternakan bakal dikenakan tindakan jika tidak melakukan kaedah tersebut.

“Selepas ini kita akan pastikan setiap haiwan ternakan terutama lembu diletakkan tag bagi memudahkan kita mengenal pasti siapa pemilik haiwan tersebut.

“Kalau dia (penternak) tidak letak tag mungkin dia akan dikenakan tindakan dan sebagainya, pada masa sama Kerajaan Negeri juga akan tahu jumlah lembu yang diternak dengan sah selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Lelongan Haiwan Ternakan berkenaan di Melaka Beef Sdn Bhd, Ladang Lembah Kesang, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Azahar Mohamed.

Dr. Muhamad Akmal berkata, bagi melaksanakan inisiatif itu Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah haiwan ternakan liar khususnya lembu pada minggu hadapan.

“Minggu hadapan kita akan selaraskan bagaimana jawatankuasa yang ditubuhkan ini boleh memperkenal dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap setiap penternak lembu.

“Justeru itu, kita juga akan mengadakan satu operasi secara besar-besaran bagi menangkap lembu terbiar di negeri ini.

“Di mana lokasi dan bila akan dibuat kita tidak maklum, jadi penternak perlu bertanggungjawab jaga haiwan ternakan mereka dan jangan biarkan ia (lembu) terlepas di kawasan tidak sepatutnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Lelong lembu terbiar serendah RM1,600
Next post Cabutan bertuah TMM2024 tawar hadiah ‘wow’
Ubah saiz-+=