Lembu pembawa rezeki

Masa Membaca:3 Minit, 23 Saat

MASJID TANAH 3 Jun – Sikap percaya pada kemampuan diri sendiri dan tidak mudah berputus asa menjadi pegangan membantu Azlan Amid yang kini bergelar usahawan tani berjaya dalam bidang penternakan.

Bermula dengan tiga ekor lembu dia berjaya membiak ternakan itu yang kini berjumlah lebih 100 ekor dan menjadi sumber pendapatan utamanya.

Azlan, 38, berkata, walaupun keputusan untuk menjadi penternak suatu ketika dulu tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga namun dia percaya sekiranya ada usaha pasti ianya akan berhasil.

Menurutnya, selepas pemergian ayahnya dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung di Kuala Sungai Baru, bagi menjaga ibunya sebelum ‘terjun’ ke bidang ternakan meskipun tanpa sebarang pengalaman atau pengetahuan menguruskan haiwan itu.

Katanya, keputusan untuk bekerja sendiri kira-kira 17 tahun lalu itu juga didorong kemahuan diri yang mahu bebas dan tidak dikongkong oleh majikan jika masih makan gaji.

“Mulanya saya pelihara kambing namun tidak lama selepas itu, semuanya saya jual dan hasil jualan digunakan sebagai modal membeli lembu.

“Dengan modal yang tidak berapa besar, saya beli tiga ekor lembu malah ketika itu juga langsung tiada kandang cuma tambat pada pokok sahaja.

“Bermula daripada situ, perjalanan rezeki saya dipermudahkan dengan membina kandang berhampiran rumah, kemudian saya terpaksa mencari lot lain yang lebih besar bagi menempatkan puluhan ekor lembu,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Ayer Hitam Darat, di sini.

azlan lembu 9
SEBAHAGIAN ternakan milik Azlan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut bapa kepada dua anak itu, ketika awal pembabitannya pada 2005 dia langsung tidak terfikir akan berada ditahap sekarang sehingga dapat membuka syarikat atas nama sendiri.

“Memang tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini kerana ketika itu niat saya hanya untuk mencari sumber rezeki. Hendak kata kaya tidaklah tetapi dengan duit bela lembu ini saya dapat berkahwin dan besarkan anak-anak.

“Tidak dinafikan, awal-awal dulu keluarga ada persoal dan bimbang kerana dalam keluarga tiada yang terbabit dengan bidang ini, namun begitu saya tidak ambil itu sebagai tekanan malah anggap sebagai satu cabaran.

“Berniaga lembu ini lakunya setahun dua kali iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban, waktu inilah dapat tampung modal pusingan. Boleh dikatakan jualan tahun lepas adalah yang paling tinggi dengan lebih 120 ekor habis dijual,” katanya.

Dia yang juga pemilik AZ Berkat Trading berkata, sejak kira-kira 17 tahun lalu rutin hariannya masih sama iaitu meluangkan masa dikandang dengan menguruskan lembu-lembu peliharaannya.

“Saya lebih selesa lakukan sendiri jadi setiap pagi, saya akan ambil rumput sebelum membasuh kandang dan memandikan lembu-lembu, kemudiannya memberi makan.

“Walaupun rutin harian dikelilingi lembu-lembu tetapi keadaan di sini amat tenang sehinggakan tidak terasa penat menguruskan puluhan ekor lembu ini,” katanya.

azlan lembu 3
MEMANDIKAN lembu antara rutin harian Azlan bagi mengelakkan ternakannya diserang penyakit. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ujar Azlan, sebagai penternak sudah pastinya ada cabaran yang dihadapi antaranya penyakit kuku dan mulut yang kerap menyerang ternakannya.

“Penyakit kuku dan mulut ini paling ditakuti, jika ada kes semua kandang yang dalam radius lima kilometer terpaksa ditutup. Permit keluar, masuk juga disekat jadi kami penternak perlu pandai kawal penyakit.

“Lembu ini juga emosinya sukar diramal, ada kalanya elok dibelai tetapi ada waktunya tiba-tiba sahaja boleh tanduk malah tahun lepas tiga jari kaki saya patah kerana dipijak lembu ketika membersihkan kandang,” katanya.

Menurutnya, selain itu kenaikan harga dedak haiwan semasa juga menjadi cabaran bukan hanya kepada dirinya malah kepada rakan penternak yang lain sehingga harga jualan lembu terpaksa dinaikkan.

azlan lembu 8
PROSES menyiapkan makanan ternakan menggunakan rumput. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Seperti saya, selain rumput, turut diberikan kepada lembu adalah campuran tiga jenis dedak, walaupun harga naik mendedak contohnya seguni dedak 10 kilogram mencecah RM63 saya terpaksa beli.

“Sebulan untuk bekalan makan lembu saya perlu ada kurang-kurang RM5,000 kerana secara purata kos makan seekor lembu setiap bulan antara RM150 hingga RM180.

“Jadi saya berharap sekiranya kerajaan atau Exco kita dapat membantu mencari solusi dalam hal ini. Sekurang-kurangnya dapat meringakan sedikit beban kami penternak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6085
Kongsi :
Previous post Sembilan lagi PEDi diwujudkan di Melaka
Next post DUN Pengkalan Batu anjur korban kelompok
Ubah saiz-+=