Lembu import dari Thailand untuk korban dijamin bebas LSD, FMD

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERDANG, 20 Mei – Kerajaan memberi jaminan bahawa lembu yang diimport dari Thailand untuk dijadikan ibadah korban menjelang Aidiladha bebas daripada penyakit kulit kental (LSD) dan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kesemua lembu yang dibawa masuk dari negara itu akan melalui proses kuarantin dan disahkan bebas penyakit sebelum diedarkan dalam negara ini.

“Kerajaan Thailand juga akan pastikan lembu yang dibawa masuk untuk tujuan korban atau tujuan lain bebas LSD dan FMD.

“Lembu yang dibawa masuk untuk proses sembelihan ibadah korban akan menjalani kuarantin selama 28 hari manakala kuarantin selama 35 hari bagi tujuan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Lebah Sedunia di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Pada 7 Jun 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta selepas menilai risiko penularan penyakit LSD yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.

Selepas beberapa perjumpaan, perbincangan dan penambahbaikan beberapa peraturan dan prosedur import, JPV menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta pada 15 Mac lepas.

Beliau berkata kemasukan lembu import ke Malaysia diperketatkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penularan penyakit berjangkit seperti LSD dan FMD.

“Kemasukan lembu dari Thailand memang perlu melalui syarat yang ketat. Kita jangka lebih 12,000 ekor lembu akan diimport dari Thailand untuk ibadah korban tahun ini,” katanya.

Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 12,405 ekor lembu dari Thailand sempena sambutan Aidiladha berbanding 12,553 ekor pada 2020.

Mengenai jangkaan berlaku krisis makanan di negara ini, Ahmad berkata beberapa langkah sedang dirangka bagi memastikan bekalan makanan negara cukup dan stabil.

“Kementerian sentiasa membuat tinjauan mengenai masalah dihadapi ketika ini serta apakah tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia mungkin mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik COVID-19 dan konflik antara Rusia dan Ukraine berlarutan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post TLDM tahan empat pendatang asing di perairan Johor Selatan
Next post Bapa tujuh anak didakwa terima suapan RM600
Ubah saiz-+=