Lembu betina nyaris lemas dalam kolam ikan
TABOH NANING 21 Mac – Seekor lembu betina yang terpisah daripada kawanan ditemui terjatuh dalam sebuah kolam ikan sedalam dua meter di Kampung Baru, di sini, kelmarin.
Lembu berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah.
Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.10 malam sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi.
Katanya, ketika tiba, lembu berwarna hitam yang terperangkap itu bertindak agresif apabila cuba didekati menyebabkan operasi menyelamat bertambah sukar.
“Lembu itu kelihatan agresif dengan merengus mengelilingi kolam dan cuba melompat keluar daripada kolam simen itu namun gagal.
“Anggota APM dibantu orang awam terpaksa menggunakan tali dan ditarik dengan lori untuk mengeluarkan lembu itu dan operasi mengambil masa kira-kira satu setengah jam sebelum ia berjaya diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, pengadu, Amir Asran, 56, berkata, kejadian lembu terjatuh ke dalam kolam ikan itu merupakan kali pertama berlaku.
Katanya, disebabkan keliling kolam bersimen ia menyebabkan haiwan itu sukar untuk melompat naik ke atas dan terperangkap.
“Mujur saya perasan lembu itu terjatuh di dalam kolam kira-kira 6.30 petang, jika tidak ia mungkin mati lemas.
“Saya cuba membantu lembu itu naik tapi gagal dan saya terpaksa menelefon APM untuk bantuan,” katanya yang turut kesal dengan sikap penternak lembu yang membiarkan haiwan itu berkeliaran 24 jam sehingga turut merosakkan tanaman pekebun lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.