LEMBARAN BAHARU PEMENTASAN TEATER MUZIKAL SEJARAH MELAKA
AYER KEROH 21 Disember – Pementasan teater muzikal bertemakan sejarah perlu dijadikan satu lembaran baharu dalam menyuntik semangat cintakan tanah air, khususnya buat anak muda di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kekuatan sesuatu sejarah yang diangkat dalam satu naskhah seni wajar diteruskan memandangkan ia dapat membawa orang ramai menghayati nilai kehebatan sebuah empayar suatu ketika dahulu.
Mengambil contoh inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka mengangkat karya agung Sulalat ‘Us Salatin untuk dipentaskan sebagai naskhah teater muzikal, Ketua Menteri menyifatkan ia sebagai satu usaha yang amat baik untuk memperkasakan jati diri generasi muda masa kini.
“Justeru dengan adanya pementasan seperti ini, ia memberitahu tentang sejarah bagaimana kebangkitan sesuatu bangsa itu yang runtuh dalam bentuk sebuah penjajahan.
“Jadi lembaran sejarah ini perlu dihayati oleh anak-anak muda bagi memperkasakan jati diri untuk masa hadapan mereka.
“Walaupun kita berada dalam era dunia yang hebat dan moden, tetapi berpijak di bumi yang nyata mesti datangnya daripada satu kisah sejarah yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Karya Agung Pementasan Purbawara Muzikal: Sulalat ‘Us Salatin – Kemaharajaan Maritim Selat Melaka di Auditorium Kompleks JKKN Melaka, di sini, malam tadi.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut berterima kasih kepada Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production dengan kerjasama JKKN Melaka kerana menghasilkan karya agung yang lengkap dengan penceritaan sejarah.
“Teater purbawara muzikal ini dapat mengangkat martabat naskhah sastera sejarah yang tinggi nilainya.
“Ia juga salah satu platform untuk generasi muda menghayati karya klasik ini yang menyentuh tentang sejarah dan keagungan kemaharajaan maritim suatu masa dahulu,” katanya.
Pementasan teater itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dengan membabitkan seramai 60 anak seni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.