Lembaga unggas negara atasi isu bekalan atau harga ayam
DUYONG 28 Mei – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berharap kerajaan memperhalusi cadangan pihaknya berhubung penubuhan Lembaga Unggas Negara bagi mengatasi isu harga dan bekalan ayam.
Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, perkara itu pernah disuarakan sebelum ini dan berharap penubuhan lembaga itu dapat dilaksanakan segera demi kepentingan bersama pengguna dan pengusaha industri makanan.
“Kita ada Bank Negara untuk kawal selia Institusi Kewangan seperti bank, kita juga ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kawal selia syarikat-syarikat korporat.
“Tetapi anehnya kita tidak ada satu lembaga yang mengawal selia industri makanan dengan berkesan. Malah industri nenas yang bukan makanan utama kita pun ada lembaga untuk mengawal selia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas ditemui pada majlis Rumah Terbuka DPMM cawangan Melaka dekat sini.
Katanya, penubuhan Lembaga Unggas bertujuan memastikan ayam dijual pada harga yang sepatutnya tanpa menetapkan mana-mana harga siling.
Menurutnya ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan bilangan keluaran yang berskala besar.
“Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dengan permainan ‘nakal’ orang tengah. Pasaran tidak lagi dikawal oleh kartel,” katanya.
Katanya, DPMM juga menyambut baik jihad memerangi orang tengah yang akan dipelopori oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Jelasnya, harga ayam dipengaruhi kuasa pasaran (flex-price), harga siling dan kawalan bekalan sekali gus mempengaruhi kos pengeluaran.
“Penternak dapati harga makanan ayam melambung naik menjadikan harga siling tidak kompetitif.
“Oleh itu subsidi perlu diberi pada punca peningkatan kos iaitu input makanan ayam seperti jagung atau apa sahaja alternatif sebagaimana yang dicadangkan Kabinet. Jika tidak intervensi kerajaan akan gagal,”
katanya.
Selain itu, katanya, lesen import (AP) untuk semua ini perlu ditutup semula sejurus selepas krisis berakhir dan hanya GLC seperti Nafas diberi permit tunggal atau utama.
Tegasnya, Nafas perlu diberi mandat untuk menerajui pelbagai inisiatif termasuk melakukan pelaburan strategik, dimana ia juga akan dikawal oleh Lembaga Unggas yang baru.
“DPMM harap ketetapan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dilakukan dengan perincian yang halus dan objektif jelas disusuli penambahbaikan kami.
“Jika tidak, bekalan ayam dan makanan bukan sahaja berkurang tapi akan menjadi mahal setelah pengeluar tempatan tidak lagi mampu mengeluarkan hasil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.