Sorting by

×

Lembaga Peperiksaan: PBS nilai pelajar secara holistik

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menilai pelajar secara holistik dengan sistem peperiksaan berpusat bukan lagi bentuk penilaian tunggal untuk mengukur pencapaian mereka.

Dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pihak sekolah akan memberikan fokus kepada tiga komponen melibatkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Ketua Penolong Pengarah, Lembaga Peperiksaan Rohesan Muhamad berkata melalui PBS, pelajar di tahap dua sekolah rendah dan menengah rendah akan dinilai berdasarkan tahap penguasaan mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik.

“Pentaksiran ini bermakna proses mendapatkan maklumat perkembangan murid, tidak meletakkan peperiksaan sebagai sesuatu yang utama untuk mendapatkan perkembangan murid, tetapi ia salah satu kaedah.

“Sebelum ini, pelaporan rasmi pencapaian murid di sekolah rendah contohnya, kita tengok UPSR, tetapi dengan pemerkasaan PBS ini, kita akan lihat perkembangan murid setiap tahun,” katanya ketika taklimat berkaitan PBS di sini baru-baru ini.

Rohesan berkata sebelum ini, pentaksiran pusat diuruskan Lembaga Peperiksaan, tetapi dengan pemerkasaan PBS, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi autonomi kepada guru di sekolah untuk menilai, sekali gus menentukan pencapaian murid di bawah seliaannya.

Selain itu, menurutnya KPM akan menyediakan soalan yang setara standardnya bagi ujian akhir sesi akademik dan pencapaian murid akan diukur mengikut kurikulum tahun semasa.

“Contohnya, bagi pelajar Tingkatan Satu, hanya sukatan mata pelajaran di Tingkatan Satu akan diuji, sama dengan tingkatan lain. Sebelum ini, sukatan mata pelajaran dalam Tingkatan Satu hingga Tiga digabungkan dan diuji dalam PT3,” katanya.

Beliau berkata bank soalan akan disediakan KPM bagi sekolah rendah (tahap dua) melibatkan lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah manakala bagi mata pelajar lain, soalan akan disediakan pihak sekolah.

Bagi peringkat menengah rendah, KPM akan menyediakan soalan bagi 20 mata pelajaran mengikut mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah.

“Dengan pemerkasaan PBS, kita tidak membandingkan antara murid dengan murid atau sekolah dengan sekolah, tetapi hendak melihat kemampuan murid itu sendiri menerusi tahap penguasaan, bukan kita hendak melihat kelemahan murid,” katanya.

Dalam pada itu, Rohesan berkata pentaksiran pusat masih dilaksanakan bagi pelajar menengah atas iaitu Tingkatan Empat, Lima dan Enam dengan melaksanakan kerja kursus, ujian lisan dan ujian amal.

Mengenai kemasukan ke sekolah berasrama penuh, menurutnya pelajar perlu menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan bukan bergantung kepada PBS semata-mata.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Peperiksaan Kanan, Lembaga Peperiksaan Dr Ibrahim Mohamed Zin menjelaskan terdapat dua aspek dalam PBS iaitu pentaksiran formatif dan sumatif.

Menurutnya formatif ialah pentaksiran untuk pembelajaran melibatkan latihan harian, tugasan mingguan dan soal jawab semasa pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Sementara sumatif adalah pentaksiran mengenai pembelajaran mengikut kuiz, peperiksaan atau peperiksaan bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun yang akan diambil dengan baik melalui pemerkasaan PBS dan dinamakan sebagai Ujian Akhir Sesi Akademik.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2055
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka ‘tanya khabar’ parkir valet tular
Next post ‘Burger pelik’ tarikan baharu Pengkalan Balak
Ubah saiz-+=