Sorting by

×

Lemang Norita laris

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

LENDU 30 April. – Bayang 1 Syawal yang kian hampir menyaksikan permintaan dan tempahan terhadap lemang semakin meningkat sekali gus memberi pendapatan lumayan buat si pembuat juadah ‘wajib’ ketika hari raya.

Hal itu diakui seorang pembuat lemang, Norita Ismail, 35, dari Kampung Durian Daun Hilir, dekat sini ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) pagi tadi.

Menurutnya, pemintaan terhadap lemangnya semakin bertambah sejak dua hari lalu daripada orang ramai terutama pelanggan tetap.

“Setakat ini saya terima tempahan untuk 400 lemang dan yakin ia akan meningkat lagi apabila hari raya semakin hampir.

“Insya-Allah saya masih mampu menerima tempahan lagi dan yakin memenuhi permintaan apabila Aidilfitri semakin hampir,” katanya.

NORITA membakar lemang di kediamannya di Kampung Durian Daun Hilir, Masjid Tanah dan menjelang Aidilfitri, tempahan yang diterimanya semakin meningkat.

Norita berkata, dia dibantu ibunya, Zainora Abdul Aziz, 62, mengisi pulut di dalam buluh sebelum membakarnya bagi meneruskan tradisi yang diwarisi daripada keluarga mereka sejak 30 tahun lalu.

Daripada memasukkan daun pisang, pulut dan santan ke dalam buluh, hinggalah menyusunnya pada pendandang kayu api sebelum memastikan setiap buluh didandang dengan sempurna bagi menghasilkan lemang berkualiti tinggi, mereka tidak pernah merungut keletihan.

“Sepanjang Ramadan, masih ada permintaan daripada penggemar lemang dan walaupun terpaksa berdandang dekat api antara tiga hingga empat jam, kami tetap menguatkan semangat untuk memasaknya dengan sempurna,” kata ibu empat anak berusia antara tiga hingga 13 tahun itu.

Bagi menghasilkan lemang terbaik dan memuaskan hati pelanggan, Norita memastikan buluh digunakan tidak terlalu tua atau muda.

“Tahun lalu kami jual lemang RM10 sebatang tapi kali ini antara RM12 hingga RM15 sebatang berikutan kenaikan harga pulut, santan dan buluh.

“Pada hujung minggu kami membuat antara 30 hingga 40 lemang tetapi beberapa hari menjelang Aidilfitri kami menyediakan kira-kira 2,000 lemang untuk pelanggan di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Saya tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran sebaliknya pelanggan hadir di sini untuk mendapatkannya,” katanya yang turut bersyukur kerana setakat ini, belum ada pelanggan mengadu lemang dihasilkannya terlalu lembik atau hangus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2037
Kongsi :
Previous post Lantikan Mohd Ali sebagai Canselor selari dengan pengalamannya- Sulaiman
Next post Hamzah sahkan suara dalam audio tular adalah dirinya
Ubah saiz-+=