Lelongan JPJ Melaka: Honda Civic, Subaru antara barang panas buruan pembida
BUKIT KATIL 18 MEI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memperoleh RM240,610 hasil lelongan 30 pelbagai jenis kenderaan pada Lelongan Awam Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berlangsung di Ibu Pejabat JPJ Melaka, di sini, hari ini.
Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesemua kenderaan terbabit membabitkan 21 kereta, motosikal (8) dan sebuah semi treler berstatus boleh dilesenkan dan skrap.
Beliau berkata, kenderaan model Honda Civic, Subaru Imprezza, Honda Odyssey, dan dua Toyota Wish antara lima kenderaan yang menerima bidaan tertinggi.
“Honda Civic FD20 RM30,100, Subaru Imprezza dibida pada harga RM30,000, Honda Odyssey (RM28,500, Toyota Wish (RM23,100) dan Honda FD (RM22,000).
“Ini antara yang panas, maksudnya, harga muka rendah dan menarik minat pembida. Antara lima kenderaan ini pembina minat model Subaru yang mana harga muka dia lebih kurang RM5,000 dan naik sehingga ke RM30,000,” katanya.
Majlis lelongan awam itu dihadiri 58 orang pembida yang berminat mendapatkan kenderaan terbabit atas pelbagai sebab termasuk untuk dijadikan sebagai alat ganti.
Antara menjadi perhatian adalah Saraj Mohamad, 57 tahun, dari Seremban, Negeri Sembilan iaitu pembida yang aktif menghadiri lelongan awam JPJ seluruh negara sejak 20 tahun lalu.
“Hari ini saya dapat lima barangan skrap, dua kereta dan dua motosikal selain sebuah motosikal, semua ini akan dijadikan seabgai alat ganti bagi perniagaan saya usahakan.
“Memang setiap kali ada sesi lelongan, di Seremban, Melak, Johor, atau di mana-mana JPJ sahaja seluruh Malaysia, saya tidak akan lepaskan peluang untuk hadir.
“Pada 2022 saya memperoleh lesen skrap, sejak itu saya mula keluar barang terpakai di seluruh Malaysia. Tapi bukan semua bidaan itu murah ada yang tinggi, pembinaa pula ramai hingga mencecah ratusan orang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.