Lelaki warga India dituduh bunuh pesara, seorang lagi suspek masih diburu
S.Logamurugan, 27, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Sa’adon Sahat, 57, di belakang premis bangunan tiga tingkat Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim antara 2.44 pagi hingga 3.10 pagi pada 27 Feb lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan pesara maut dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk hanya kerana menegur supaya tidak membuat bising.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya masih memburu suspek utama iaitu Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, yang dipercayai pemandu kereta yang melanggar pesara berkenaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis dengan berhubung terus kepada pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Nazam Md Shah, di talian 012-7221913.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.