Lelaki rentung dalam kemalangan empat kenderaan di Permas Jaya
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Sulaiman berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi itu membabitkan kereta BMW, Perodua Myvi, Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.
Menurutnya mangsa yang rentung ditemukan tersepit di bahagian pemandu kereta BMW, yang terbakar kira-kira 90 peratus.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kebakaran didapati melibatkan sebuah kereta BMW dan van pekerja kilang jenis Nissan yang terbakar 90 peratus serta sebuah kereta Perodua Myvi terbakar 60 peratus, manakala kereta Honda City tidak terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Faiz berkata pemandu lelaki Perodua Myvi dan Honda City masing-masing berusia 34 dan 52 tahun itu dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.10 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan berkata siasatan mengenai insiden itu masih dijalankan.
Menurut Raub, siasatan polis mendapati pemandu BMW itu dipercayai telah terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
“Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai dari arah pusat bandar menghala ke Permas Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, kereta BMW yang dipandu mangsa dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an.
“Pada masa sama, Perodua Myvi dan Honda City yang berada di belakang van terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang van berkenaan hingga mengakibatkan kereta BMW dan van itu terbakar sepenuhnya.
“Kereta Perodua Myvi itu terbakar di bahagian hadapan enjinnya, manakala Honda City hanya mengalami sedikit kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya menambah pemandu van kini dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Aminah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.