LELAKI PANDU AXIA SECARA BERBAHAYA DITAHAN
ALOR GAJAH 16 Disember – Padah memandu kereta secara berbahaya dengan aksi zig zag di lebuh raya, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan polis.
Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 216 Lebuhraya Utara Selatan arah utara sebelum kejadian itu tular di platform media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pemandu tersebut ditahan selepas pihaknya mengesan penularan kejadian itu dalam video berdurasi lebih satu minit pada kira-kira jam 3.20 petang 4 Disember lalu.
Menurutnya, dalam rakaman video terbabit, kereta jenis Perodua Axia itu telah dipandu secara melulu hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Kereta itu dipandu secara zig zag ke kiri dan kanan yang dipercayai berlaku di Kilometer 216 Lebuhraya PLUS arah utara sehingga membahayakan pengguna kenderaan lain.
“Susulan itu, kita telah menahan pemandu kereta berkenaan, lelaki berusia 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ashari, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya selama lima tahun jika sabit kesalahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.