Sorting by

×

Lelaki maut langgar lembu lintas jalan

Masa Membaca:57 Saat

MACHAP 10 Mac. – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar  lembu di Jalan Bukit Bulat, di sini, malam tadi.

Mangsa Abdul Bahrin Hamid, 59, yang berasal dari Kampung Lendu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.42 malam memaklumkan satu kemalangan telah berlaku di Jalan Bukit Bulat melibatkan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal Yamaha.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Hutan Percha menghala Felda Solok Menggong telah melanggar seekor lembu yang melintas jalan di kawasan itu,

“Siasatan awal menunjukkan cuaca dalam keadaan baik di jalan lurus dua lorong berkenaan, namun terdapat kesan geseran dan serpihan di tempat kejadian.

“Lembu berkenaan didapati masih lagi hidup walaupun telah dilanggar di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, mangsa yang maut telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan motosikal terbabit telah dibawa ke Balai Polis Alor Gajah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post Rugi RM150,000 terpajak kebun durian ‘palsu’
Next post Ceroboh empangan: Notis akhir pengosongan sebelum 1 April – Sulaiman
Ubah saiz-+=