Lelaki maut, dua rakan parah kereta terbabas
ALOR GAJAH 13 Ogos – Seorang maut dan dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Pulau Sebang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, S Nieranchan, 23 yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin akibat kecederaan di kepala dan badan, manakala dua lagi rakannya berusia 20-an patah paha dan kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Tampin menuju ke Alor Gajah hilang kawalan sebelum terbabas.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kenderaan dinaiki tiga mangsa itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Pihak polis menemui kesan tayar ditemui di lokasi kejadian dan ketika kejadian cuaca baik dan tidak hujan manakala jalan adalah satu lorong dua hala dan lurus.
“Kesemua tiga mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Tampin dan pemandu berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Arshad, bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat mangsa di Hospital Tampin hari ini.
Ujarnya, kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan kenderaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.