Lelaki maut, abang dan isterinya cedera kereta diseret lori
ALOR GAJAH 8 Feb – Seorang pemandu maut manakala dua penumpang cedera termasuk seorang parah selepas kereta dinaiki terbabas dan dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 215.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, Nor Azli Abdul Fattah, 25 yang memandu kereta jenis PROTON Wira maut di lokasi kejadian manakala abangnya yang duduk di tempat duduk hadapan berusia 33 tahun cedera di kepala.
Isteri Nor Azli yang duduk di tempat duduk belakang berusia 25 tahun cedera di bahu manakala anak lelakinya berusia dua tahun serta pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 54 dan 49 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Bandar Sunway, Selangor menghala ke kampung isteri mangsa di Batu Pahat manakala lori berkenaan dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menghala ke Johor Bharu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Nor Azli hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya dan berpusing.
“Lori yang datang arah sama tidak sempat mengelak kejadian itu merempuh kereta terbabit dan menyeret kenderaan itu dari lorong sebelah kiri ke lorong sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, abang mangsa dirawat di zon merah hospital sama dan masih belum sedarkan diri manakala isterinya dirawat di zon kuning hospital berkenaan.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan serpihan komponen kenderana ditemui di lorong kecemasan dan kesan geseran bermula di lorong kecemasan sehingga lorong kanan,” katanya.
Arshad berkata, kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Jelasnya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.