Lelaki Indonesia dicekup rakam wanita dalam tandas

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA TENGAH 4 Jun – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas merakam perbuatan seorang wanita dalam tandas sebuah premis menjual biskut di Lorong Hang Jebat, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai senior eksekutif syarikat logistik di Selangor berusia 24 tahun memasuki tandas yang terletak di tingkat satu sebuah premis di lorong berkenaan untuk membuang air pada jam 4.15 petang.

Katanya, ketika hendak memakai seluar, mangsa ternampak telefon bimbit pada lubang dinding tandas sebelah kiri mangsa.

“Berikutan itu, mangsa mengambil paip air dan menyembur ke arah tangan yang memegang telefon bimbit tersebut.

“Pengadu berasa takut dan terus keluar dari tandas sebelum memaklumkan mengenai kejadian itu kepada rakan lelakinya dan memberitahu pengurus kedai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengurus kedai kemudian memanggil pekerja pembersihan tandas warga Indonesia berusia 27 tahun dan memeriksa telefon bimbit lelaki tersebut.

“Pengurus kedai mendapati terdapat rakaman video mangsa dan beberapa video wanita lain di dalam tandas.

“Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Zainol berkata siasatan lanjut mendapati suspek bekerja di premsi berkenaan sejak setahun lalu dan tiada sebarang kes melibatkan suspek dilaporkan sebelum ini.

Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post Ekopelancongan Paya Lebar tarik 1,437 pelancong
Next post UTeM jalin kerjasama dengan 3 institusi pendidikan tinggi TVET Jerman
Ubah saiz-+=