Lelaki gagal seludup lebih RM830,000 syabu ke luar negara ditahan
AYER KEROH 22 November – Polis menahan seorang lelaki bersama dadah dipercayai syabu bernilai lebih RM830,000 dalam serbuan di kawasan Pulau Melaka, di sini, tengah malam tadi.
Suspek berusia 50-an itu ditahan dalam serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, bersama Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, serbuan itu hasil risikan dijalankan pihaknya selama kira-kira sebulan ke atas suspek yang juga seorang penganggur.
“Ketika tangkapan dibuat, hanya terdapat suspek di dalam kereta Proton Saga dipandunya dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga beg di bahagian bonet yang mengandungi bungkusan teh cina bewarna kuning.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan teh itu mendapati ia adalah dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 23.10 kilogram (kg) dengan nilai RM834, 768.
“Jika mengikut harga jualan atau pasaran nilai keseluruhan dadah itu lebih RM2 juta dan boleh digunakan seramai 115, 720 penagih dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut hadiri Timbalan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras Selangor, Chew Tham Soon di IPK Melaka, hari ini.
Zainol berkata, hasil risikan dijalankan mendapati sindiket pengedaran dadah itu menjadikan negeri ini sebagai transit sebelum diedar untuk pasaran luar negara.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa bekalan dadah itu diperoleh dari Lembah Klang dan dia baru sebulan terbabit dalam aktiviti itu.
“Malah polis juga tidak menolak kemungkinan, Pulau Melaka dijadikan lokasi baharu selepas lokasi seperti Tanjung Kling yang kerap diserbu polis sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek bebas dadah namun semakan lanjut mendapati dia mempunyai empat rekod lampau termasuk kes di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan kesalahan Akta Imigresen.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.